Showing posts with label Ilmu Hakikat. Show all posts
Showing posts with label Ilmu Hakikat. Show all posts

Thursday, June 6, 2013

MAKA YG DEMIKIAN ITULAH ALLAH, ROBB KAMU YG AL HAQ

Alhamdulillahi Robbil 'Alamin , Wassolaatu Wassalamu 'Ala Asyarafil Anabiaai Wal Mursalin Wa 'Ala Aalihi Ath Thoiyyibin Watthohiriin .

Salam di pagi jumaaat , perkongsiaan buat semua teman2 yg cintakanNYA ingin mencari jalan kembali kpdNYA dengan selamat ...


Wahai para ikhwan yg dimuliakan ,,,, Peganglah kamu dgn iktikod ini sekemas-kemasnya.

Sesungguhnya Allah itu adalah Allah , sebenar-benar Allah itu  Robb / Tuhan Yang Maha Suci , Laisakamishlihi syaiun ......




..قُلْ مَن يَرْزُقُكُم مِّنَ السَّمَآءِ وَالاٌّرْضِ أَمَّن يَمْلِكُ السَّمْعَ والاٌّبْصَـرَ وَمَن يُخْرِجُ الْحَىَّ مِنَ الْمَيِّتِ وَيُخْرِجُ الْمَيِّتَ مِنَ الْحَىِّ وَمَن يُدَبِّرُ الاٌّمْرَ فَسَيَقُولُونَ اللَّهُ فَقُلْ أَفَلاَ تَتَّقُونَ - فَذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمُ الْحَقُّ فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلاَّ الضَّلاَلُ فَأَنَّى تُصْرَفُونَ - كَذَلِكَ حَقَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ عَلَى الَّذِينَ فَسَقُواْ أَنَّهُمْ لاَ يُؤْمِنُونَ

Katakanlah: "Siapakah yang memberi rezki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang kuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup dan siapakah yang mengatur segala urusan?" Maka mereka akan menjawab: "Allah." Maka katakanlah "Mangapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya)? Maka itulah Allah Tuhan kamu yang sebenarnya; maka tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan (dari kebenaran)?

فَذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمُ الْحَقُّ

"MAKA YG DEMIKIAN ITULAH ALLAH, ROBB KAMU YG AL HAQ ......."

Kalau kamu masih membilang2kan , memisah2kan , memilah2kan zat , sifat , asma' dan af'al beerti belum mengenal Allah sebagaimana yg ALLAH SWT sendiri jelaskan mengenaiNYA . DIA lebih mengenalNYA dari semua guru2 yg arif ....

WUJUD tu masih bersifat baharu , WUJUD itu juga di jadikan bagaimana ia boleh dipakaikan kepada ALLAH Subhanahu Wa Ta'ala ROBBIL 'AALAMIN . Selepas Muhammad dan sekelian alam semuaanya baharu .....



Adakah DIA memerlukan sifat wujud baru DIA wujud? DIA  tidak berkehendak pada sifat tapi sifat berkehendak kepadaNYA. Semua yang berkehendak itu termasuk di dalam lingkungan ALLAHUSSOMAD .


PENGETAHUAN tentang DIA adalah "TIDAK TAHU" tetapi kamu masih membilang2kan sifat , memakai2kan pakaian wujud, memilah2 memisah2 akan DIA .... padahal tak siapa pun yg TAHU dan sampai kepada HAKIKAT RUBUBIYYAH .....

DIRI itu adalah makhluk atau nafs,  ALLAHU ROBBIL AALAMIN itu tak berDIRI ,Sebab setiap yang berDIRI perlu berHAYAT dan setiap yang berHAYAT merasai AL MAUT.

Bila menisbahkan zat itu adalah diri , bermakna itu telah mensyirikan atau menguna neraca mahkluk dalam menyatakan  zat.


PENGETAHUAN TENTANG ZATNYA IALAH "TIDAK TAHU" 


bersambung ....

Tuesday, December 4, 2012

Wahdatul Af'al catatan di kemas kini

Bab Pada Menyatakan Beberapa Fahaman Atas Wahdatul Af'al


Click to Enlarge
Petikan dari Kitab Durun Nafis

 بسم الله الرحم الرحيمن
الحمد لله الذي خصّ علماءَ أهل السنة بحمل راية التوحيد وعقيدة
 الإسلام ووفقهم لردّ كل شبهة وضلالة يذيعها المبتدعة بين العوام
وصلى الله وسلم على سيدنا محمد مَن كشف الله به

 الدجى ومحا الظلام
 أما بعد


Alhamdulillah berkesempatan aku menterjemahkan ke tulisan rumi sedikit petikan dari kitab Durun Nafis pada bab membicarakan Wahdatul Af'al atau sampai kepada Tauhid Af'al / mentauhidkan Af'al  Allah Swt. Semoga menjadi menafaat buat kita semua . Insyaallah. Tulisan bold di bawah adalah teks asal seperti dalam kitab yg di scan manakala tulisan normal selepasnya adalah penjelasan-penjelasan agar lebih mudah faham bagi mereka yang kurang mahir dengan lengguk bahasa melayu lama. Aku akan cuba menterjemahkan lagi beberapa bab yang penting seperti bab Wahdatul Zat, Wahdatul Sifat dan Wahdatul Asma' insyaallah .  Pada Versi tambahan/update  aku tambahkan tarikh editnya sekali .

(Tarikh: 4 Dis 2012)
Ini adalah versi update dari posting yg terdahulu , aku sedang mengemaskini posting2 lama dari masa ke semasa agar lebih jelas penerangannya memandangkan terdapat beberapa golongan yg kurang mengerti atas hal Wahdatul Af'al lalu mereka memperkatakan di grup2 facebook perkara yg mereka tidak faham sehingga menjurus kepada fahaman ahli bid'ah spt Jabariah . Hendaklah dimaklumi Wahdatul Af'al ini adalah suatu maqam bg ariffinbilah bukanlah boleh difahamkan secara mudah oleh orang2 awam . Ini hanya sekadar diilmiahkan sahaja oleh pengarang asal kitab ini dan dipetik dari kitab2 arab terdahulu jua. Tidak dapat difahami oleh mereka yg tidak berguru dan tidak bermujahaddah di dalam suluk dan khalwat. Jgn anggap remeh dan mudah bagi mendapatkannya.

Terjemahan:
(Bahawasanya barang yang dibukakan atas segala hati orang yang arif dalam dunia ini hanyasanya baharu setengah daripada barang yang disediakan oleh Allah Ta'ala kepada mereka itu di dalam akhirat kerana memuliakan mereka itu di dalam dunia ini.)
 
Penjelasan:
Terbukanya hijab yg hak oleh Allah Ta'ala ke atas hati orang-orang arifin billah di dunia ini lagi sebelum mati adalah sebagai satu tanda Allah Ta'ala memuliakan mereka di dunia lagi dan ianya hanyalah sebahagian/sedikit dari kurniaan yang Allah Ta'ala berikan disamping pemberianNYA di alam akhirat. Ini menunjukkan betapa besar anugerahNYA keatas mereka itu. Maksud terbuka hijab di sini adalah pembukaan hijab yang 'Hak' bukannya pembukaan hijab yang disandarkan kepada keupayaan jin (kasyaf jin) atau makhluk (iblis & syaitan) selain Allah Ta'ala seumpama melihat alam-alam ghaib oleh bomoh yang bathil. 

Keupayaan dan pemberian yang bathil ini dikenali sebagai istidraj yang mana ianya bukan anugerah Allah Ta'ala ke atas Aulia'-Aulia'NYA tetapi pemberian yang menjauhkan diri dari Jalan Kebenaran. Amat Jauh Berbeza sekali berbanding dengan anugerah Allah Ta'ala ke atas para-para Ariffin billah dan Aulia'-Aulia'NYA. Dengan panduan guru mursyid sesorang murid salikin akan dipimpin dan memahami antara Kasyaf Hak dan Kasyaf Bathil)
Wallahu A'lam . Intaha.

Terjemahan:
(Hai saudaraku takut oleh mu daripada bahawasanya lupa engkau daripada memandang Wahdatul Af'al yang ia menyampaikan akan dikau kepada memandang keelokkan yang wajibal wujud . Dan takut oleh mu daripada bahawa bangsakan pada mengadakan satu perbuatan ada ia.)
 
Penjelasan:
Takutilah/risaulah/waspadalah wahai pembaca sekelian jangan sampai kamu lupa memandang Wahdatul Af'al apabila sampai tajjalliNYA yang akan menyampaikan kepada keelokkkan/keindahaan Allah yg wajibal ujud. Bagaimana nak memandang Wahdatul Af'al ?

Walaupun kamu memandang segala perbuatan diri mu ini PADA HAAKIKATnya terbit daripada perbuatan/Af'al  Allah Ta'ala ini disebabkan DIA yg menjadikan kamu AKAN TETAPI jgn kamu lupa, kamu  ada usaha dan ikhtiar/pilihan bagimu. 

Yang dikatakan Perbuatan/Af'al Allah ialah hakikat perbuatanNYA semata-mata tidak berserta dengan mana2 perbuatan hamba. Itulaah hal kelaakuan zat yg Maha Suci. Suci drp segala haal perbuatan yg baharu. 

Perbuatan makhluk  adalah baharu atau muhaddas . Sekiranya kamu tidak sampai kepada maqam Wahdaatul Af'al adalah haram bg  mu berpegang perbuataan kamu itu perbuatan Allah Swt. Yg qadim tetap qadim dan qadimlah juga Af'alNYA sedangkan yang baharu/muhaddas tetap baharu dan baharu jualah perbuatannya. 

Dan perbuatan mu itu jangan sampai menyalahi oleh syarak kerana kamu membuat pilihan yg tidak betul menggunakan amanah kudrat ke arah perbuatan yang diharamkan oleh Allah Swt. Bermaknanya  kamu tidak menyelaraskan perbuatan mu menurut kehendak Allah Swt beerti kamu membangsakan pada mengerjakan satu perbuatan yg menyalahi hukum  Allah Swt.

Akan mereka yg telah dianugerahkan tajalli Af'alNYA dan sampai tauhidnya Tauhid Wahdatul Af'al akan sampai lah kepada memandang /syuhud akan zat Allah Ta'ala yang wajib ujudNYA dengan pandangan  yg bathin seperti kata Say Ali ra aku tidak menyembah Tuhan yg aku tidak nampak , IA dapat dilihat dgn pendangan mata hati/mata bathin.

Sebenarnya adalah lupamu kepada memandang tajalli Af'al Allah Ta'ala itu semata-mata kerana memandang segala perbuatanmu itu adalah terbit dari perbuatan dirimu sendiri dan justeru itu kamu memperbuatkan segala perbuatan yg menyalahi syarak dan menutup hijab pandangan mata hati.

Apabila Allah Ta'ala belum menghendaki terbuka hijab kamu memandang akan Af'al NYA kamu terus dilupakan dan dilalaikan memandangnya. Walau pun kamu berusaha untuk mengingatnya , tetapi apabila Allah Ta'ala menghendaki terbukanya hijab itu IA akan mempermudahkan jalan bagimu . 

Carilah Wasilah atau Jalan Tawasul melalui keberkatan yang Allah Ta'ala limpahkan ke atas guru yang memimpin rohanimu itu. Barakallahu fikum .


Semoga bertemu lagi di catatan yang akan datang ...... 






Dana Jihad akhir Zaman .......

Saturday, August 14, 2010

Wahdatul Af'al membicarakan tentang Tauhid Af'al Siri 2

Bab Pada Menyatakan Beberapa Fahaman Atas Wahdatul Af'al Siri 2



Petikan dari Kitab Durun Nafis

 بسم الله الرحم الرحيمن 

الحمد لله الذي خصّ علماءَ أهل السنة بحمل راية التوحيد وعقيدة الإسلام
ووفقهم لردّ كل شبهة وضلالة يذيعها المبتدعة بين العوام
وصلى الله وسلم على سيدنا محمد مَن كشف الله به

 الدجى ومحا الظلام
 أما بعد


Alhamdulillah berkesempatan aku menterjemahkan ke tulisan rumi sedikit petikan dari kitab Durun Nafis pada bab membicarakan Wahdatul Af'al atau sampai kepada Tauhid Af'al / mentauhidkan Af'al  Allah Swt. Semoga menjadi menafaat buat kita semua . Insyaallah. Tulisan bold di bawah adalah teks asal seperti dalam kitab yg di scan manakala tulisan normal selepasnya adalah penjelasan-penjelasan agar lebih mudah faham bagi mereka yang kurang mahir dengan lengguk bahasa melayu lama. Aku akan cuba menterjemahkan lagi beberapa bab yang penting seperti bab Wahdatul Zat, Wahdatul Sifat dan Wahdatul Asma' insyaallah .  Pada Versi tambahan/update  aku tambahkan tarikh editnya sekali .

(Tarikh: 4 Dis 2012)
Ini adalah versi update dari posting yg terdahulu , aku sedang mengemaskini posting2 lama dari masa ke semasa agar lebih jelas penerangannya. 

Terjemahan:
(tanbih ya ikhwani) ertinya ini suatu perkataan yang menjaga hai segala saudaraku.(Bermula hasil kata Syeikh Wahhab Sha'rani Qaddasallahu Sirrihi (Semoga Allah mensucikan Ruh/Sirr nya) syarahnya di dalam kitab Al Jauhar Wad Durur ia menukil daripada perkataan Syeikh Muhyiddin Ibn Arabi radiallahu anhu. Bermula segala akuan ini sekelian dinding yang mendindingi daripada memandang hak Allah Ta'ala padahal Hak Allah Ta'ala jua yang berbuat ia di sebalik hijab akuan ini tetapi diri akuan ini tiada ia mendindingi akan kita daripada memandang Allah Ta'ala. Dan adalah misalnya seperti bayang-bayang kayu di dalam air itu tiada ia menegahi lalu perahu hanya sanya yang mendidingi itu pada sangkaan kita kepadanya jua.


Penjelasan:

(Ingatlah wahai Ikhwan)
Syeikh Wahhab Sha'rani Qaddasallahu Sirrihi pada menukilkan perkataan Syeikh Muhyiddin Ibn Arabi radiallahu anhu di dalam kitab Al Jauhar Wad Durur, " Bermula segala akuan ini sekelian dinding yang mendindingi daripada memandang hak Allah Ta'ala padahal Hak Allah Ta'ala jua yang berbuat ia di sebalik hijab akuan ini tetapi diri akuan ini tiada ia mendindingi akan kita daripada memandang Allah Ta'ala. Dan adalah misalnya seperti bayang-bayang kayu di dalam air itu tiada ia menegahi lalu perahu hanya sanya yang mendidingi itu pada sangkaan kita kepadanya jua".

Keakuanmu itu adalah dinding yang menghijab kamu daripada memandang segala perbuatan Af'al Hak Allah Ta'ala . Ianya berlaku atas sebab2 kesombongan diri yang tidak mahu menyerah kepada Allah Swt dan ingin memperlakukan segala perbuatan yg menyalahi kehendak Allah Swt. Atas kesombongan kamu itu mendindingi kamu daripada melihat Hak perbuatan Af'al Hak Allah Ta'ala padahal Allah Swt tidak terdinding drp segala hijab. Kamu menyangka kamu itu adalah cahaya sedangkan dirimu itu zulmat yg memerlukaan kepada cahaya lalu kamu dibiarkan terdinding atas kesombonganmu itu.

Pengarang kitab ini memberi misal perumpamaan seperti 'bayang-bayang kayu' di dalam air yang dilihat seolah-olah menghalang laluan perahu/sampan di atas air padahal ianya cuma pada sangkaanmu jua. Apabila kamu melalui laluan itu ternyata bayang-banyang kayu itu tidak mengahalangi perjalanan perahu tersebut. Itu ibarat perjalanan kamu untuk sampai kepada Tauhid Af'al dan jgn kamu menganggap ianya mudah tanpa sebarang mujahaddaah , suluk daan khalwat.




Adakah bayang-bayang yang menghalang ini benar-benar wujud dan menghalang perjalanan dan mujahaddah mu??



AWAS !!!
Halangan di bawah ini adalah realiti bukan bayangan . Apakah kamu dapat membezakannya ???



(Dan pandang kita kepadaNYA jua dan barangsiapa yang terbuka daripadanya hijab itu nescaya dilihatnya segala yang memperbuatkan perbuatan itu Allah Ta'ala sendirinya dan barangsiapa tiada terbuka hijab itu terdindinglah ia dengan akuan ini daripada memandang fa'il yang hakiki yakni yang berbuat yang sebenar iaitu Allah Ta'ala.)Terjemahan dan Penjelasan:

Maka hendaklah kamu memandang akan segala perbuatan Allah Ta'ala yang terbit pada dirimu dan pada sekelian alam yang kabir (besar) . Barangsiapa yang dibukakan Allah Ta'ala akan hijabnya ini maka nescaya dapat melihat akan segala perbuatan itu terbitnya daripada perbuatan Allah Ta'ala semata-mata, yakni DIA yang memperbuatkan akan segala perbuatan pada hakikatnya.

Dan sampailah kamu kepada makam mentauhidkan Af'al Allah subhanahu Wa Ta 'ala. Tempuh rasa di tahap ini mungkin sekejap dan mungkin lama berbeza-beza ia sekadar mana yang dianugerahkan oleh Allah Ta'ala. Fana di dalam Af'al Allah Ta'ala ini merupakan suatu intipati ibadah yang sangat tinggi di sisi Allah Ta'ala sebagaimana diriwayatkan di dalam beberapa hadis di mana barangsiapa yang berfikir/fana sesaat adalah lebih baik daripada 70 tahun , 100 tahun dan juga menyebut 1000 tahun ibadah sunat. Semuanya bergantung kepada tahap2 fana seseorang itu.

Sebaliknya barangsiapa yang tidak dibukakan hijabnya maka terdindinglah ia daripada penglihatan tersebut kerana masih memandang wujud dirinya dan hasil perbuatan dirinya sendiri. Dan terdindinglah ia daripada melihat hakikat segala perbuatan itu daripada perbuatan Allah Ta'ala.

(Maka tiap-tiap mazhab kaum pada perbuatan hamba itu adalah 4 mazhab.)
Fahaman atas perbuatan hamba itu terbahagi kepada 4 Mazhab.

(Pertama kaum yang tiada mengetahui mereka itu akan bahawasanya Allah Ta'ala yang berbuat akan segala perbuatannya
itu dan hanya diiktikadkannya oleh mereka itu bahawasanya yang berbuat segala perbuatan yang baharu itu hamba jua dan adalah qudrat hamba jua dan adalah qudrat hamba yang baharu itu memberi bekas ia pada segala perbuatan hamba yang baharu itu maka itu mazhab muktazilah yang bid'ah lagi fasik.)Terjemahan dan Penjelasan:
Mazhab yang pertama dalam memahami perbuatan hamba ialah Mazhab Muktazilah yang bid'ah lagi fasik. Kaum ini tidak berpegang kepada bahawasanya Allah Ta'ala yang melakukan dan menzahirkan segala perbuatan tetapi beriktikad bahawa segala perbuatan itu adalah terhasil daripada qudrat hamba yang baharu lagi memberi bekas. tanpa perganmtungan kepada Allah Ta'ala. Contohnya , seseorang telah berusaha dalam mencari rezeki dan memperolehi kekayaan yang banyak. Atas fahaman Muktazilah ialah kekayaan yang diperolehi itu adalah hasil bekas daripada usaha seseorang itu bukannya daripada Allah Ta'ala. Fahaman ini seolah-olah hamba sudah putus dan tidak ada pergantungan kepada Allah Ta'ala hanya bergantung kepada hasil usahanya sendiri.

(Kedua mazhab jabariah, iaitu kaum yang mengetahui mereka itu dan memandang mereka itu akan bahawasanya segala perbuatan itu sekeliannya daripada Allah Ta'ala sendirinya dan keraslah atas mereka itu memandang akan segala perbuatan itu daripada Allah Ta'ala sendirinya dan tiada sampai mereka itu kepada yang menyandar akan segala perbuatan itu bagi hamba kerana kurang daripada mereka itu darjat kamal maka tersalahlah mereka daripada jalan syariaat dengan sebab tiada menyandar kan segala perbuatan hamba itu kepada mereka itu maka iaitu iktikad zindik.)
Terjemahan dan Penjelasan:

Mazhab yang pertama dalam memahami perbuatan hamba ialah mazhab Jabariah iaitu iktikad yang zindik. Kaum Jabariah berpegang dengan iktikad bahawa tiap-tiap saegala perbutaan itu terbit dari Allah Ta'ala samaada baik atau jahat sedangkan hamba itu ibarat debu ditiup angin tidak mempunyai usaha dan ikhtiar. Maka menyandarkan segala perbuatan maksiaat mereka juga kepada Allah Ta'ala kerana sifat darjat mereka yang rendah dan banayak menyalahi hukum-hukum syariaat. Fahaman ini seolah-olah menyalahkan segala perbuatan maksiaat yang dilakukan oleh mereka kepada Allah Ta'ala tiada bagi mereka usha dan ikhtiar untuk menjauhi perbuatan maksiaat tersebut. Itulah sebabnya Iktikad Jabariah ini dihukumkan iktikad yang zindik.

(Ketiga kaum yang mengetahui mereka itu akan bahawasanya segala perbuatan sekeliiannya daripada Allah Ta'ala tetapi ada bagi hamba itu usaha dan ikhtiar dan dengan keduanya itulah hamba memperbuatkan segala perbuatannya dan keduanya tempat taaluk hukum syarak tetapi keduanya itu tidak sekali-kali memberi bekaspada perbuatan yang baharu hanya memberi bekas itu Allah Ta'ala sendirinya jua. Maka iaitu iktikad Asya'ariah iktikad yang ma'abud yang selamat daripada bahaya dunia dan akhirat. Tetapi tiada sampai mereka itu kepada martabat kkasyaf kerana terdinding mereka itu dengan sebab makna usaha danikhtiar daripada hamba jua tiada dipandang akan segala pebuatan itu daripada Allah Ta'ala sendirinya. Maka tiap-tiap daripada thoifah yang 3 ini atas penglihatnya itu. (Ghusyawat) yakni dinding yang menuntut daripada sampai penglihat mereka itu daripada memandang wahdatul Af'al . Selama-lamanya mereka itu dalam dinding yang tertutup tiada sampai kepada makam kasyaf dan musyahadah dan mukhafafah.)

(Keempat mzhab Ahlul Kasyaf, yakni orang yang terbuka pada mereka itu dinding iaitu kaum yang memandang akan kejadian segala perbuatan daripada Allah Ta'ala dan kesandarannya itu daripada hamba misalnya seperti qalam orang yang menyurat adalah yang menjadikan huruf itu orang yang menyurat jua dan qalam itu menjadi alat persandaran menyurat jua. Dan adalah hamba itu seperti qalam tiada baginya perbuatan dan yang memperbuat itu orang yang meyurat jua. Wallahu A'lam. Yakni segala yang berlaku di dalam segala alam ini Allah Ta'ala jua yang menjadikan ia.) Intaha.
 


Setelah lama aku paparkan bab Tauhid Af'al di sini , ada yang membaca dan mengambil kefahaman masing-masing , ada yg lari dari fahaman yang sebenarnya dan ada yang mengambil jalan selamat , berpegang kepada pesanan guru-guru makrifat yang arif billah.

Di sini aku ingin menambah komen dan percerahan , menyambung bab ini memandangkan terdapat pemahamaan yang melencung juga dari syariaat yang sebenarnya , kalau di biarkan akan berlarutan dan membawa kepada iktikod yang salah dan menjadi fitnah yang sangat bahaya dari bangsa yang membinasakan Iktikod itu sendiri .

Bila kita berpegang kepada Tauhid Af'al ada beberapa perkara yang perlu kamu ingat , Pertamanya di mana makam atau level kamu , Keduanya adakah kamu benar-benar sudah duduk tahkik di atas Tauhid Af'al ini . Ketiganya perkara-perkara yang membatalkan duduk tahkik kamu .

Hal yg pertama: Dimana makam atau level kamu .

Makam kamu ialah makam kehambaan , perlu diingat hamba tetap hamba dan tidak akan menjadi Tuhan sama sekali buat selama-lamanya. AWAS !!!  Jangan kamu  berpegang kepada iktikod yg salah umpamanya "hamba menjadi tuhan ". Ini tidak pernah berlaku di dalam mana2 aliraan ketuhanan yang sah kecuali ianya ialah kesesatan dan sudah tergelincir dari landasan sebenar . 
 
Sebagai hamba , perlu kamu ketahui apakah kamu benar-benar telah fana/binasa diri kerana apabila di makam fana diri kamu seperti berpuasa , tidak makan , tidak minum , tidak mengikut hawa nafsu dan tidak melanggar batas-batas syariaat . Amal kamu penuh dengan amal ibadah yang soleh dan kewajipan-kewajipan yg sunat seumpama wajib buat kamu .
 
Dan ketika itu sekiranya kamu di anugerahi Allah Ta'ala dengan memandang akan Tauhid Af'al ini dan berlaku Tajalli Af'al ke atas dirimu barulah benar-benar kamu di makam Tauhid Af'al  dan segala perbuatan yang terbit dari dirimu itu dari Allah Ta'ala semata-mata . Bagi mereka yang bukan di makam ini tidak sama sekali akan mencium Tauhid Af'al .
 
Dan perkara ini bukannya berlaku dalam masa yang berpanjangan seperti kalakuan orang-orang yang zindik lalu mengatakan perbuatannya pada hakikatnya adalah perbuatan Allah Ta'ala. Sesaat sahaja kamu fana lebih besaar dari ibadat 60 tahun, 70 tahun , hinggalah 1000 Tahun mengikut penilaian Allaah Ta'ala ke atas kamu. 
 
Kedapatan orang-orang yg belum sampai ke makam ini berangan-angan dan bersangka-sangka yang mereka sudah sampai ke makam ini lalu melakukan perkara-perkara yang melanggar syariaat lalu mereka beriktikod ianya perbuatan Allah ke atas mereka SEDANGKAN yang sebenarnya mereka telah di perdayakan oleh Iblis laknatullah. Benar-benar mereka telah di dalam kesesatan yang nyata . 
 
Untuk lebih jelas duduk perkara ini eloklah kamu meneliti semula penjelasan-penjelasan aku sebelumnya dalam tajuk Tiada jalan pintas "short cut" ,  Mencapai Makrifat Tanpa Usaha dan Baru Mengaji Hakikat Dah jadi Ahli Hakikat ? 
 
Hal yang Kedua:  Adakah kamu benar-benar sudah duduk tahkik di atas Tauhid Af'al ini?
 
Tidak mencium Tauhid Af'al bagi mereka yang tidak berguru dengan guru yang benar-benar Mursyid dan Ariffin billah . Guru Mursyid yang Arif billah ialah mereka yang mengambil Ilmu ini dari sanad-sanad yang tidak putus , bersambung ke Nabi Saw. Tidak melalui pembacaan kitab tanpa berguru . Mereka inilah orang yang sudah duduk tahkik di dalam makaam ini , bukan kita , bukan para salikin, bukan para murid yang masih dalam perjalanan. Hanya guru yang dapat mengesahkan makam dan perjalanan kamu itu .


Hal yang Ketiga : Perkara-perkara yang membatalkan duduk tahkik kamu di dalam Makam Tauhid Af'al.


Apabila kamu melakukan perkara yang melanggar syariat secara lansung batallah duduk tahkik kamu pada makaam ini samaada kamu sudah sampai apaatah lagi belum sampai hanya berfsangka-sangka. Tidak ada fahaman-fahaman seperti mengikut perjalan Nabi Allah Khidir as daan seumpamanya , sebab itu hanya makam khusus buat dia dan berlaku 1 dalam sejuta. Lupakan saja sangkaan-sangkaan kamu , larilah dari tipu daya iblis laknatullah.

Apabila kamu makan dan minum batallah puasa kamu , batallah suluk dan khalwat kamu , batallah solat kamu . Jadi bagaimana kamu masih lagi duduk di dalam Tajaalli Af'al dan memandang Tauhid Af'al ? Orang yang mendapat Tajalli Af'al adalah mereka itu sudah asyik mahsyuk dan lupakan hal keduniaan semata-mata , sudah fana dengan Allah Swt. 

Carilah Guru yang mursyid lagi Arif billah untuk penjelasan yang lebih mendalam .... 




BERSAMBUNG ......


Wednesday, July 29, 2009

Baru mengaji ilmu hakikat dah jadi ahli hakikat ?

Sebelum hendak mengaji ilmu hakikat banyak perkara-perkara penting yang aku nak perjelaskan di sini. Aku bukanlah nak melarang mengaji ilmu hakikat tetapi silakan mengaji kalau dah cukup syaratnya .

Ulamak-ulamak terdahulu sangat melarang keras mengaji ilmu hakikat sebelum kemas diri dengan ilmu syariaat dan ilmu tarekat. Perkemaskan diri dengan ilmu fardhu ain , usul , fekah dan tasauf , kemudian mula melangkah ke pengajian tarekat. cari guru2 atau syeikh2 tarekat yang muktabar. Selepas itu barulah boleh mengaji ilmu hakikat.

Aku bukan nak mengajar ilmu hakikat di sini sebabnya dah terlalu banyak penerangan-penerangan tentang ilmu hakikat terdapat dalam blog di sana sini dan juga di dunia luar. Cuma aku nak bagi tips dan panduan kepada sesiapa yg dah belajar ilmu hakikat. Semua tip-tips ini akau dapat daripada pengalaman-penagalaman yg sebelum ini. Ada juga yang aku dapat dari perkongsian ilmu dan pengalaman dengan orang lain.

Hendaklah difahami betul-betul wahai pembaca sekelian , apabila kita sudah melangkah ke pengajian ilmu hakikat bukan bermakna kita telah tahkik dan duduk di dalam makam ahli hakikat. Ahli hakikat adalah mereka-mereka yang telah mencapai makam-makam tertentu setelah menjalani mujahaddah dan riadhah. Seorang yg Ahli Hakikat adalah tidak sama dengan seorang yg hanya belajar ilmu Hakikat. Sebab segala pembelajaran ilmu itu hanya kupasan dari rasa ilmu yang dirumuskan oleh para-para sufi terdahulu. Mereka menceritakan dalam bentuk ilmu dan kenyataan bertulis.


bersambung

Monday, July 27, 2009

Tiada jalan pintas "short cut"

Bismillahirrahmanirrahim , Washolatu wassalamu 'ala asyrafil anbiya'i wal mursalin , wa a'la aalihi wasohbihi ajma'in. Amma Ba'du.

Wahai para pembaca yg aku kasihi,


Janganlah kita lari dari sunnahtullah dan sunnah nabi saw. Kaji dan selidikilah perjuanaan para-para Rasul , Para-para Anbia', Para-para Aulia' serta para-para sufi yang ariffin billahi was solehin dari smeua zaman hingga ke saat ini.

Betapa besarnya mujahhaddah serta pergorbanan mereka untuk agama Allah dan untuk seluruh umat. Tanpa pengorbanan mereka sudah tentu kita di akhir zaman tidak akan mencapai apa yang dikatakan nikmat Iman dan Islam.

Renungilah kalam-kalam Allah yg Maha Tinggi lagi Maha Suci serta peninggalan daripada sunnah Nabi saw, kata-kata Imam ahlul bait serta para sahabatnya sekelian. TIada aku jumapai di dalamnya mana-mana kitab yg telah aku baca menceritakan ada jalan piintas dan mudah untuk sampai ke Hazrat Allah swt. Semuanya melalui liku-liku susah payah dan penuh dengan mujahaddah , berlapar dan dahaga, penumpahan darah serta aliran airmata yg berlinang di waktu malam , suara-suara yg terkedu-kedu memohon hidayah dan pertolongan Allah Swt. Semua ini tercatit di dalam warisan-warisan ilmu peninggalan mereka.

Aku bagi satu contoh saja di situ pun kamu sudah tak upaya melakukannya di akhir zaman ini. Sejauh mana kamu menjalani taubat dengan ertikata taubatan nasuha. Setiap kali kamu ungkapkan kata-kata istighfar maka setiap kali juga kamu mengulangi dosa yang sama. Setiap kali kamu menangis akan tetapi setiap kalai juga kamu ketawa. Setiap kali kamu berdiri malam maka setiap kali juga kamu berdiri di jalan maksiat yg batin. Itu beerti kalbumu masih belum tetap , tahkik dan benar2 suci dan ikhlaskan diri di ahadapan Allah swt. Kamu nilaikan lah diri kamu sendiri sebelum penilaian di buat di hadapan Allah.

Apakah kamu menyangka kamu bhw dengan beroleh sedikit ilmu tentang Ruh , kamu telah dapat samapai ke makam yg dicapai oleh Para-para aulia' . Jangan kamu panjangkan angan-angan kamu. Cukuplah setakat ini dan sebelum ini kamu berkhayal dan berangan-angan tinggi . Tingkah lakumu tak ubah seperti mat jenin di abad ke 21.
Hnetikan angan-angan tingi kamu itu , mulakan latian mujahaddah kamu. Tundukkan hawa nafsu kamu yang selama ini menjadi tuhanmu.

Kamu tidak akan dapat sampai melainkan kamu melaui proses-proses ini :
1. Menuntut ILMU
2. FAHAMAN yang Benar
3. AMAL yang bersungguh-sungguh
4. mendapat RASA dgn anugerah Allah.
5. Beroleh SAMPAI perjalanan kamu.

Kalau tak lengkap yg 5 tu sia2 saja sbb manusia tu terhijab sbb :

1. Malas beramal - Kata Abu Zar, " Barangsiapa ada baginya 'kasal' (malas) maka tiada diperolehi kebahagian di dunia & akhirat.
2. Lemah beribadat kern bimbangkan urusan dunianya.
3. Jemu dan merasa puas dgn ibadat yg ada kerena buat berulang2 padahal belum terhasil RASA dan makrifat.
4. Terhenti beramal bila dibukakan kasyaf , lalai melihat perhiasan dan keelokan ibadat sehingga lupa pada Allah.

Puncanya ialah kurang iman, lemah keyakinan, buta mata hati, menurut hawa nafsu.
Kalau ada siapa 2 kata senang nak tunduk nafsu , itulah pendusta yg besar dan pembid'aah yg zindik.


Kini kamu tahu di mana tahap diri kamu, kekurangan-kekurangan kamu . Ayuh mulakan segera.Syaitan terlalu suka membisikkan kata-kata, esok lah , nanti dulu , malaslah, dan bermacam-macam lagi yg kamu sendiri tahu tapi tak upaya menolaknya. Janji-janji manis bisikan mereka itu telah sebati di dalam diri kamu dan liang-liang urat darah kamu. Telah membuat perjanjian dengan nafsu kamu yang telah menguasai seluruh tubuhmu. Berusahalah melepaskan diri kamu dari penjara Raja Nafsu dan menteri syaitan itu.


Bersambung ...

Mencapai Makrifat Tanpa Usaha


Di zaman ini terlalu ramai yang ingin mempelajari ilmu hakikat dan makrifat . Bila aku berjalan ke sana sini bertemu kawan2 dan para guru aku dapati ramai yg mencari dan minat untuk belajar ilmu ketuhanan . Di forum-forum di luar forum sama sahaja keadaannya . Ini menunjukkan satu perkembangan yang menarik. Kumpulan tarekat pun telah berlembang di tanah air kita tidak seperti semasa aku di era zaman 70 an dan 80 an. Walaubagaimana pun tuduhan dan tohmahan terhadap ilmu-ilmu tarekat , hakikat dan makrifat itu masih juga berlaku bahkan berleluasa.

Pelik sungguh rasa di hati dan fikiran aku , kenapa dulu ulamak pondok di sanjung dan kebanyakan mereka membawa ilmu yang sama . Kalau ada tohmah pun bukan dari orang awam tetapi perdebatan di antara ualama-ualama besar spt yg berlaku kepada Syeikh Hamzah Al Fansuri dengan syeikh Nuruddin Al Raniri. Tetapi orang awam tidak berani campur urusan ulamak -ulamak besar. Kerana mereka tahu di mana tahap mereka ketika itu.

Kebanyakkan anak-anak murid di zaman sekarang banyak yang hangat-hangat tahi ayam . Mula-mula bersemangat nak belajar tapi akhirnya kecundang juga gugur di lembah peperangan hawa nafsu. Mereka tidak mempunyai semangat perjuangan yang tinggi dan kental. kemana perginya semangat-semangat bangsa melayu ya hebat-hebat seperti yang lampau-lampau.

Cita-cita tinggi nak jadi wali mulalah sembang seperti wali , guna perkataan wali . Dengar memang hebat tapi pada hakikatnya hampas, cuma seperti tin kosong yg tak berisi.

Ingin aku tegaskan di sini , TIDAK ADA dan TIDAK PERNAH aku lihat dan aku jumpa seseorang yang telah mencapai makrifat dengan hanya bercakap-cakap kosong , berangan-angan tinggi, berhujjah sana-sini dengan hanya menghafal ilmu-ilmu dari kitab. Dan tidak pernah berlaku di mana-mana zaman sekali pun . Kita dengar di zaman dulu wali tu hebat , wali ni hebat akan tetapi tahukah kita betapa susahnya mereka itu berjihad menundukkan hawa nafsu mereka . Tak kira siang dan malam seluruh hidup mereka di dalam perjuangan yg hebat.

Maka dengan anugerah Allah swt yg menilai kesucian dan keihklasan hati mereka mendapat kedudukan yg tinggi . Sedar lah saudaraku dan semua murid-murid janganlah menganggap makrifat itu suatu perkara yang mudah dicapai sambil berpeluk tubuh.

Bukan setakat 100 x sehari berzikir boleh menjadikan kamu makrifat. Dan yang berzikir 70.000 x sehari pun belum tentu mencapai makrifat inikan pula setakat zikir bubur kacang, atau kenduri tahlil. Makrifat itu anugerah Allah swt tetapi ia perlu diusahakan. Allah mahu menghukum kamu , mengampun dosa2 kamu , menguji kesabaran kamu , dan pelbagai lagi jalan-jalan yg kamu perlu tempuh sehingga kamu betul-betul bersedia untuk sampai ke hazratNYA.

Barangsiapa yang belum berjumpa Guru tidak akan berjumpa jalan taubat.
Barangsiapa yang tidak berjumpa jalan taubat tidak akan berjumpa jalan ilmu.
Barang siapa yang tidak berjumpa jalan ilmu tidak akan berjump jalan beramal.
Brangsiapa tidak berjumpa jalan beramal tidak akan jumpa jalan usaha.
barangsiapa yang tidak berjumpa jalan usaha tidak akan jumpa jalan sabar.
Barangsiapa tidak berjumpa jalan sabar tidak akan jumpa jalan tawakkal .
Barangsiapa yang tidak berjumpa jalan tawakkal tidak akan jumpa jalan fana.
Barang siapa yang ta berjumpa jalan fana tidak akan berjumpa jalan Baqo.
barangsiapa yang tidak berjumpa jalan baqo tidak akan berjumpa jalan hakikat.
Barangsiapa yang tidak berjumpa jalan hakikat tidak akan berjumpa jalan makrifat.
Barangsiapa yang belum makrifat tidak akan bermula jalan agama.
Barangsiapa yang tidak beragama jadilah ia seperti bilis dan syaitan.

Ketahuilah kamu bahawa sesungguhnya Makrifat itu adalah anugerah Allah Ta'ala kepadamu dan bukan suatu perkara yang mudah dicapai . Apabila kamu mula mendapat ilmu tentang ketuhananan , hasil dari belajar , makrifat itu hanya di peringkat ilmu , dengan kenyakinan kamu pada ilmu tersebut dinamakan ilmu yakin. Makrifat yang hakiki ialah kamu mengenal sesuatu secara hakiki bukan lagi berdasarkan ilmu dan dalil. Apabila sudah dibukakan hijab buat kamu nampak dengan pandangan bathinmu akan Hakikat Wujud barulah disebut Makrifat Apabila menerima pandangan bathin barulah dinamakan makrifat pada tahap ainul yakin. Maknanya Kamu yakin atas pandangan bathinmu tentang Hakikat sesuatu. Seterusnya kenyakinan sampai kepada peringkat yang hakiki, iaitu Haqqul Yakin maknanya kamu mengenal sesuatu itu secara hakiki , dalam pandangan bathin , ilmu dan rasa yang tak dapat di goyang lagi. Maka apabila ditanya kepada Nabi saw bagaimana kamu mengenal Tuhan ,dijawab aku mengenal Tuhanku dengan Tuhanku.

bersambung ...

BAB 2 - Menuntut Ilmu Ketuhanan Yang Tulen

Figure: Tanda terbesar kebesaran Allah adalah Al Quran , yakni kalamNYA yg tersurat dan tersirat. Kalam Allah swt tiada berhuruf dan bersuara.


Bismillahirahmanirrahim,

Salam dan selawat kepada junjungan Nabi saw dan Ahlul bait dan keturunan yang suci dan dikasihi, Para Sahabat Radiyallahuanhum yang setia dalam perjuangan, serta rahmat Allah swt keatas seluruh umat muslimin muslimat, dan mukminin mukminat.


Ilmu Ketuhanan adalah ilmu yang membicarakan tentang ketuhanan Allah Ta'ala yang merangkumi keesaan ZatNYA, SifatNYA, Asma'NYA dan Af'alNYA. Ia juga dikenali sebagai Ilmu Tauhid, (ilmu mengesakan Allah ) Ilmu Usuluddin (Ilmu Dasar Agama) , ilmu Makrifat (Ilmu Mengenal) ilmu Kalam, (Ilmu Permahasan) ilmu Hakikat (Ilmu Haq/kebnaran) ,Ilmu Tahkik (Ilmu Penetap), Ilmu Aqa'id (Ilmu Simpulan Iman)dan sebagainya.

Figure: Menuntut ilmu ketuhanan itu hukumnya wajib, termasuk di dalam ilmu fardhu ain

Orang-orang awam sering kali terkeliru apabila menyebut Ilmu Makrifat sebagai ilmu yang sudah terlalu tinggi dan tak perlu dipelajari oleh mereka-mereka yang di tahap awam. Pendapat itu salah. Sebab hukum mempelajari ilmu ketuhanan itu wajib bukannya sunat . Cuma kita perlu mengetahui had-had pembelajaran di tahap fardhu ain itu berbeza dengan pengetahuan di tahap fardhu kifayah.


Ilmu Makrifat ditahap fardhu ain membicarakan sifat-sifat yg wajib, mustahil dan harus bagi Allah Ta'ala serta sifat-sifat yg wajib , yang mustahil dan yang harus bagi Rasul. Ilmu Makrifat di tahap fardhu kifayah termasuklah pembahasan ilmu kalam yang dapat menghujjah kaum-kaum ahli bid'ah dan golongan-golongan atheis dan penentang ilmu ketuhanan. Ilmu Makrifat di tahap para-para Sufi dan Aulia'-Aulia' Allah ianya mengesakan Allah Ta'ala dalam fana baqobillah. Maka perlu diketahui had-had ilmu itu dan dituntut secara berperingkat-peringkat menurut kadar kemampuan seseorang. Allah swt tidak membebankan hambaNYA dengan perkara-perkara yang kita tidak berkemampuan.


Ilmu Makrifatullah adalah intipati dari kalimah Laailahailallah. Pengajian sifat 20 adalah asas kepada mengenal Allah dan tidak dapat tidak, kita wajib dan perlu mempelajarinya dan ianya termasuk di dalam ilmu fardhu ain bukan fardhu kifayah. Sabda Nabi saw bermaksud, "Menuntut ilmu itu fardhu bagi tiap2 muslimin dan muslimat." dan Ulamak Usuluddin mensyarahkan Ilmu yang fardhu ain ini termasuklah 3 ilmu yang asas iaitu usul , feqah dan tasawuf. Maka barangsiapa meninggalkan tuntutan menuntut ilmu yang fardhu ain ini bermakna meninggalkan kewajipan menuntut ilmu dan dia termasuk di dalam golongan orang yang berdosa meninggalkan kewajipan menuntut ilmu dan beramal tanpa ilmu menjadikan amalannya sia-sia. Beramal tanpa ilmu adalah sia-sia , berilmu tanpa amal juga sia-sia.

"Awwaluddin Makrifatullah" , Ahli hadis tidak menyebutnya sbg hadis sohih akan tetapi Imam Ali as pernah menyebut kata-kata ini di dalam ucapannya yg terkumpul dalam "Nahjul Balaghah". Walau apa pun itu lah isyarat paling penting di mana permulaan daripada mempelajari agama adalah dengan mengenal Allah Ta'ala. Pengenalan kepada Allah Ta'ala adalah berbeza-beza mengikut tingkatan kefahaman masing-masing. Kita tidak boleh menyamakan kefahaman orang awam dengan kefahaman para nabi dan para wali.

HTML clipboard
-->Mempelajari ilmu Tauhid ini termasuk di dalam ilmu fardhu ain di samping ilmu feqah dan tasawuf. Setelah selesai mempelajari ilmu ini baru disusuli dengan ilmu-ilmu yang lain. Inilah kaedah yang diikuti para sahabat nabi dan ulama rabbaniyyun dari kalangan salaf maupun khalaf dalam mempelajari agama ini. Tradisi semacam ini sudah ada dari masa Rasulullah, sebagaimana dikatakan sahabat Ibn 'Umar dan sahabat Jundub:

“Kami -selagi remaja saat mendekati baligh- bersama Rasulullah mempelajari iman (tauhid) dan belum mepelajari al-Qur’an. Kemudian kami mempelajari al-Qur’an maka bertambahlah keimanan kami". (H.R. Ibnu Majah dan dishahihkan oleh al-Hafidz al-Bushiri).


Mengenal Allah Ta'ala adalah awal permulaan kita beragama, apakah mungkin kita membawa kehidupan beragama tanpa mengenal Allah? Akan tetapi kita telah lupa akan pesanan Nabi dan Imam Ali as yang sangat penting ini. Apabila ada manusia yang cuba membuka persoalan mengenal Allah atau makrifatullah orang-orang kebanyakan sering memandang sebagai ianya tidak penting. Manusia Islam kebanyakannya mengenepikan ilmu-ilmu tentang makrifatullah ini sedangkan itulah ilmu asas yang menjadi asas pengajian pondok di masa silam.

Figure: Bolehkah wujud bayang tanpa empunya bayang-bayang ?

Orang awam yang belum mencapai tahap wali seringkali membuat kesilapan besar mengambil kata-kata dan kalam-kalam sufi perihal Ketuhanan. Apabila bahasa-bahasa sufi ini difahami secara zahir dan cara kefahaman awam maka seringkali berlaku kesalahan fahaman yg bahaya dari segi aqidah.

Ajaran Wahdatul ujud atau dikenali di Nusantara sebagai martabat 7 bukan mudah untuk difahami secara baca kitab atau mengaji ilmu hakikat. Martabat 7 adalah sebenarnya intipati rasa atau zauk para wali di tahap tertinggi dan hakikatnya adalah berbeza dan bukan sperti yang difahami dengan melalui tulisan dan kata-kata . Jadi tak perlu aku menerangkan apa itu Martabat 7 di sini sebab tak siapa dapat memahaminya kecuali sudah merasainya.

Mereka yang tidak memahami wahdatul ujud akan menolak bulat-bulat kononnya tidak ada nas dari Al quran. sedangkan mereka lupa tentang ilmu laduni dan ilmu mukasyaffah yang diterangkan kewujudannya di dalam Al Quran. Tidakkan mereka mengambil iktibar dari kisah Musa as dan nabi allah Khidir as ??? Maka janganlah kita ikuti dakyah mereka-mereka yg jahil murakkab ini , yakni berhimpun dua jahil, jahil akan dirinya dan jahil akan tuhannya.

Sedih sekali mereka-mereka yang belajar ilmu hakikat merasakan yang mereka sudah memahami sedangkan pepatah sufi mengatakan " Lam ya zuuk , wa lam ya'rif" Barangsiapa tidak merasai zauk tidak akan mengetahunya. Itu isyarat dari para sufi dan wali Allah kenapa tidak kita pegang. Banyak guru yang belum sampai ke maqam tersebut cuba mengajar anak muridnya , kalau seorang guru yang arifbillah dia tahu had pembelajaran yang sepatutnya
diberi kepada anak muridnya. Tapi ini bukan alasan buat kamu untuk menolak mencari guru !!!!

Figure: Selain dari Allah adalah Alam

Komen aku ini mungkin menyentuh hati sesiapa yang berkenaan tetapi ini lah realiti yang sedang berlaku kepada perguruan-perguruan yang ujud di zaman sekarang, tidak di zaman dahulu. Setiap kali matinya orang alim setiap kalilah ilmu itu diangkat sedikit-demi sedikit sehiggalah ada guru yang mengajar tak faham , murid-murid lagilah tak faham. Kita ketandusan para-para alim yang mahir di dalam bidang ilmu ketuhanan ini dan kita ibarat si buta kehilangan tongkat. Walau bagaimana pun masih terdapat guru-guru mursyid dalam bidang ini dalam bilangan yang sedikit dan mereka bukan golongan yang suka menonjolkan diri. Hanya jauhari yang dapat mengenak manikam. Carilah mereka dan kamu akan mendapatkannya dan jangan mempersia-siakan mereka.



Figure: Seandainya kamu dijemput oelh Si Raja ke Istananya adakah kamu akan menolak pelawaannya, kenapa Mesjid yakni Rumah Allah diabaikan manusia? Qalbu mukminin Baitullah. jangan dibiarkan Qalbu mu kosong tanpa di isi dengan zikrullah.

Yang sebenar-benar tuhan itu adalah Zat Laisakamishlihi syaiun. Maka untuk mengenal zat Allah Ta'ala ialah dengan kita mengenal sifatNYA melaui jalan sifat, yakni sifat bagi Zat Allah Ta'ala. Sifat itu adalah Sifat bagi Zat Allah Ta'ala yang berdiri bagi Zat , tidak bercerai dengan ZatNya.

Alam yang baharu ini sebagai tanda dan dalil wujudnya Zat Allah Ta'ala. Zat itu tidak boleh dikaji sebab aqal kita terbatas dan tidak mampu untuk mengkaji Zat , sebab itu hanya kajian Zat diharamkan dan dilarang keras oleh Nabi saw. Kajian Sifat tidak dilarang oleh Nabi saw maka mengapa kita pula yang melarang orang-orang yang mahu mengenal Allah. Buktinya terdapat banyak ayat-ayat di dalam Al Quran yang menjelaskan tentang sifat bagi Zat Allah swt.


Peringkat-peringkat mengenal Allah itu berbeza-beza menurut tahap seseorang . Ada yang dapat mengenal Allah Ta'ala dengan aqal semata-mata bagi orang awam. Dan ada yang dapat mengenal Allah dengan hati, jiwa, perasaan , ruh, dan sirr. Peringkat tertinggi adalah bagi Nabi saw diikuti oleh para2 Aulia' Allah sepertimana kisah , Zunnun al Misri rth. pernah ditanya tentang bagaimana memperoleh makrifat itu, beliau berkata :” ariftu rabbi bi rabbi” yang artinya aku mengenal Tuhanku dengan Tuhan. Karena mengenal Allah tidak akan bisa dengan logik dan akal, melainkan dengan hati sanubari yang bersih dan selalu diisi dengan Ismul 'Adzham (Asma' Agung Allah Ta'ala)

Beliau mengatakan bahwa akhlak seorang arif billah adalah Allah Ta'ala dan orang yang arif billah akan bersifat seperti Akhlak Allah Ta'ala dan selalu menjaga perilakunya agar tidak terjebak dalam kenistaan dunia yang menghanyutkan dan menghinakan orang yang dekat kepada Allah. Jangan salah faham kenyatan ini sebab Nabi saw apabila ditanya kepada Saydatina Ummul Mukminin tentang akhlak Nabi saw , Aisyah ra menjawab , " Akhlak Nabi saw adalah Al Quran" . Maksud nya di sini mempunyai makna yang sama dengan Akhlak Allah kerana Al Quran itu Kalamullah.

Golongan anti tasawwuf yang tidak mengerti akan senang wenang menuduh kaum sufi sesat , sebenarnya mereka yang tidak faham.
Kalau mereka mengkaji kitab-kitab tauhid dan tasawwuf pun mereka tidak akan faham kerana hati mereka telah dibutakan oleh Allah swt. nauzubillahiminzaalik.


Makna "Ariftu Rabbi bi Rabbi" itu "Aku mengenal Tuhanku dengan Tuhanku" ialah mengenal Allah Ta'ala dengan pengenalan terus daripada Allah Ta'ala yakni dengan ilmu Allah. Ta'ala. Saat paling sempurna semasa hayat Nabi mengenal Allah Ta'ala adalah semata mikraj Nabi saw. Dan saat paling sempurna baginya adalah sejak azali awal kejadian Hakikat Muhammadiah dan juga selepas wafat Nabi saw. Ia adalah satu pusingan makrifat yang sempurna dari awal hingga ke akhir hayat Nabi saw. Nabi telah menyempurnakan pusingan makrifatnya dengan Allah Ta'ala secara mantap berdasarkan ayat "Innalillahi wainna ilahirojiunn"
. Makna ini aku sesuaikan dengan kefahaman orang awam. Makna hakikinya hanya mereka yang mengalaminya yang akan memahaminya.

Apakah kita telah menyempurnakan pusingan makrifat kita dengan Allah Ta'ala ? Tanyalah diri masing-masing dan kamu tentu sudah tahu jawapan nya di mana kedudukan kamu. di sisi Allah Ta'ala. Adakah ilmu yang aku bicarakan ini sesat ??? Atau manusia kebanyakkan yang telah jauh tersesat dari landasan makrifatullah . Atau adalah manusia takut untuk mengenal Allah Ta'ala kerana tidak sanggup berjumpa dengan Allah membawa segunung dosa dan melupakan perjanjian dengan Allah di alam Nur dan alam Ruh?

Figure: Kita memandang kebesaran Allah swt. dari sudut pandangan yang berbeza-beza , apa yang kita nampak itulah yang kita faham. Kita keliru bila berbeza-beza pandangan sesama kita.
Figure: Apabila kita memandang kebesaran Allah swt dari sudut pandangan yang lain pula, apa yang kita nampak tetap kebesaranNYA tiada yang lain.
Figure: Memandang kebesaran Allah swt dari sudut pandangan yang lebih luas akan meluaskan akal dan pemikiran kita.

Kalau kamu ingin tahu bagaimana ajaran tauhid yang tulen dan benar kembalilah kepada Allah Ta'ala dengan melalui jalan dan kaedah pengajian orang 2 yang terdahulu. Bacalah kisah Aulia' dan solefussolhin tentang keesaan Tauhid semuanya sangat jelas di dalam Ar Risalah Al Qusyairiah dan didalam Kitab-Kitab Usul dan Tassawuf Muntahi yang muktabar. Tidak ada yang terlepas dari ikatan Al Quran dan Sunnah rasul saw. Cuma manusia kebanyakan yang sengaja berlepas dari ikatan ini. dan tidak mencari sanad ilmu ketuhanan

Maka barangsiapa yang tidak menurut jalan Allah dan Rasul serta orang2 soleh adalah mustahil dapat menemui jalan tauhid ini. Ini lah siratul mustaqim yakni jalan makrifatullah , jalan yang lurus meluruskan kita kepada makrifatulah. Awaluddin makrifatullah, akhir agama dengan kalimah Laailahaillallah . Apakah kita mampu untuk mengucapkannya????
Waktu kita hidup di dunia ini cuma di antara waktu azan serta iqamah dan menunggu waktu disembahyangkan.

Figure: Jangan biarkan pohon tauhid anda umpama pohon yang sudah kering dan tidak berbuah.

Figure: Mampukah anda menyelamatkan pohon tauhid anda diwaktu puting beliung sakratul maut melanda ???

Berusahalah mencari guru-guru ilmu tauhid dan mendalami selagi nyawa dikandung badan. Semoga anda semua mendapat menafaat dari perbincangan yang sedikit ini , insyaallah. Mohonlah petunjuk dari Allah Swt , diperlihatkan jalan untuk menghampirinya. Amin






Dana Jihad akhir Zaman .......

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...